Thursday, 18 April 2013

TIPS-TIPS DAN PANDUAN LENGKAP CARA RAHSIA KHUSYUK DALAM SOLAT..


بِسۡـــــــــمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِـــــــيمِ

بسم الله ، والحمد لله ، والصلاة والسلام على رسول الله ، وعلى آله وصحبه ومن والاه

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah ShallAllahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Khusyuk Solat
Khusyuk dalam solat itu merupakan antara kunci yang penting untuk memberi kesan 
yang baik secara efektif kepada orang yang mendirikannya. Allah Ta‘ala menggelar mereka 
sebagai orang mukmin yang berjaya. Allah Ta‘ala berfirman:

قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ ﴿١﴾ الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ ﴿٢

“Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya.”  
(Surah al-Mukminun, ayat 1-2)
‘Khusyuk’ ialah hati sentiasa hidup, manakala khusyuk dalam solat adalah menghadirkan
 hati kepada Allah SWT di dalam solat. Ia merupakan hakikat batin yang sebenar-benar bagi 
suatu solat. Hakikat zahirnya pula adalah perbuatan anggota seperti berdiri, membaca, 
rukuk, sujud, duduk dan sebagainya. Kedua-duanya mestilah dilaksanakan dengan sempurna.
Sabda Rasulullah ShallAllahu ‘alaihi wasallam:

الصَّلاَةُ مَثْنَى مَثْنَى تَشَهَّدُ فِي آُلِّ رَآْعَتَيْنِ وَتَخَشَّعُ وَتَضَرَّعُ وَتَمَسْكَنُ…… (رواه الترمذي)

“Solat itu dua-dua rakaat, terdapat tasyahhud pada setiap dua rakaat, kekhusyukan hati,
 bersungguh-sungguh memohon dan merendah diri serta ketenangan hati……..”
 (Hadis riwayat at-Tirmidzi)


Melihat kepada kepentingan khusyuk dalam solat, maka dikemukakan di sini sebahagian tip
 atau panduan yang boleh diguna-pakai sebagai panduan ke arah perlaksanaan ibadat solat yang
 khusyuk.
Untuk mendapatkan khusyuk dalam solat hendaklah sentiasa membuat persediaan awal 
yang rapi dari aspek fizikal dan rohani. Persediaan tersebut sebenarnya bermula di luar
 solat, sebelum seorang itu mendirikan solat.

Tips Dan Panduan Khusyuk Solat

Perkara-perkara berikut perlulah diamalkan dan diperhatikan oleh setiap mukmin bagi 
mengekalkan solat yang khusyuk:


1. SEBELUM MENDIRIKAN SOLAT:


i)  Menjaga makanan, minuman dan pemakaian.
Khusyuk itu berkaitan dengan kerja hati. Oleh itu, hati perlu dipelihara 
kesuciannya dengan menjauhkannya daripada benda-benda yang haram atau tidak halal. 
Oleh itu, pastikan apa yang kita makan, minum, pakai, tempat tinggal dan lain-lain hendaklah
 datang dari punca dan sumber yang halal tanpa syubhah.
Sabda Rasulullah ShallAllahu ‘alaihi wasallam: “Ketahuilah! Bahawa di dalam badan ada 
seketul daging; apabila ia baik baiklah badan seluruhnya dan apabila ia rosak rosaklah 
sekaliannya. Ketahuilah! Itulah ya dikatakan hati.”  (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

ii)  Membersihkan diri dan bersugi.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RadhiAllahu ‘anhu bahawa Rasulullah 
ShallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Jika tidak mendatangkan kesusahan ke atas
 umatku atau ke atas manusia nescaya aku menyuruh mereka bersiwak pada 
setiap kali hendak solat.”(Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

iii)  Wudhuk yang sempurna
Mengambil wudhuk dengan sempurna supaya air mengenai semua anggota wajib serta 
mengingati niat. Sebab kesempurnaan solat juga terletak kepada kesempurnaan wudhuk.
Diriwayatkan daripada Abu Rauh al-Kula‘ie daripada seorang laki-laki bahawa beliau pernah 
mendirikan solat Subuh bersama Rasulullah ShallAllahu ‘alaihi wasallam dan Baginda membaca 
surah ar-Ruum. Pada salah satu ayatnya, bacaan Baginda terganggu. Lalu apabila selesai solat
 Baginda bersabda: “Sesungguhnya bacaan kami terganggu disebabkan terdapat beberapa
 orang di antara kamu yang solat bersama kami tidak menyempurnakan wudhuk mereka.
 Oleh itu, siapa yang mendirikan solat bersama kami, maka sempurnakanlah wudhuknya.” 
 (Hadits riwayat Ahmad dan an-Nasa’ie)
Di samping itu sebahagian kelebihan wudhuk itu dapat menjauhkan seseorang daripada
 gangguan syaitan. Saidina ‘Umar RadhiAllahu ‘anhu berkata: “Sesungguhnya wudhuk yang
 baik itu mengusir syaitan daripada engkau.”.
iv)  Memakai pakaian yang bersih dan kemas.
Jangan memakai pakaian yang kurang selesa, seperti memakai sarung kaki yang sempit,
 mengikat serban terlalu ketat dan sebagainya.
Ditegah bersolat dengan pakaian yang ada gambar, berwarna warni, bertulis, lukisan dan
 lain-lain kerana ia juga membuat orang lain hilang kekhusyukan ketika berjemaah..
v)  Jangan solat dalam keadaan lapar.
Sebolehnya selesaikan atau perkemaskan segala urusan keperluan diri termasuk makan 
dan qadha hajat terlebih dahulu. Tujuannya ialah supaya tidak timbul kebimbangan dan 
ketidakselesaan ketika menunaikan solat.
Sabda Rasulullah ShallAllahu ‘alaihi wasallam: “Jangan solat ketika makanan (yang hendak 
dimakannya) sedang tersedia, dan jangan solat dalam keadaan menahan buang air besar dan
 air kecil.” (Hadis riwayat Muslim).
vi)  Jangan solat dalam keadaan menahan buang air besar atau air kecil.
Sabda Rasulullah ShallAllahu ‘alaihi wasallam: “…dan jangan solat dalam keadaan menahan 
buang air besar dan air kecil.” (Hadis riwayat Muslim)
vii)  Pilih tempat solat yang menenangkan

Pilih tempat solat yang suasananya tenteram, selesa, tidak bising dan sebagainya. Termasuklah 

dengan memastikan telefon bimbit dimatikan sebelum solat.
Imam an-Nawawi Rahimahullah menjelaskan bahawa makruh menunaikan solat di tempat 
orang lalu lalang, kerana yang demikian itu boleh mengganggu kekhusyukan solat seseorang.
Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Umar RadhiAllahu ‘anhuma: “Bahawa Rasulullah 
ShallAllahu ‘alaihi wasallam menegah mendirikan solat pada tujuh tempat: 
Tempat pembuangan sampah, tempat penyembelihan, kubur, tengah-tengah jalan, 
bilik mandi, tempat unta duduk di keliling air dan di atas Baitullah.”  (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
iix)  Gunakan Sejadah Tidak Mengganggu
Menggunakan sejadah yang tidak terlalu banyak gambar yang akan menghayalkan pemikiran.
 Pastikan supaya tidak ada objek atau gambar yang boleh mengganggu fikiran atau
 membimbangkan hati di tempat sujud.
Diriwayatkan daripada Saidatuna ‘Aisyah RadhiAllahu ‘anha bahawa Nabi pernah mendirikan 
solat di atas hamparan daripada bulu yang mempunyai objek lukisan, lalu Baginda bersabda: 
“Objek lukisan ini mengganggu aku, bawalah ia kepada Abu Jahm dan bawakan kepadaku 
hamparan tebal yang tidak ada ukiran.” (Hadits riwayat Muslim)
ix)  Pastikan tiada gangguan
Tersebut dalam satu riwayat bahawa Rasulullah ShallAllahu ‘alaihi wasallam pernah bersabda
 kepada seorang sahabat bernama ‘Utsman bin Thalhah RadhiAllahu ‘anhu: “Aku lupa untuk 
menyuruhmu menutup dua tanduk kibasy (dari pandangan orang). Maka sesungguhnya 
tidak sepatutnya ada di rumah sesuatu yang mengganggu orang yang solat.” 
 (Hadits riwayat Abu Daud)
Imam an-Nawawi Rahimahullah menjelaskan mengenai riwayat di atas bahawa ianya memberi
 petunjuk akan galakan supaya menghindarkan atau menjauhkan apa-apa yang dikhuatiri
 melalaikan hati dari khusyuk ketika mendirikan solat.
Tersebut di dalam riwayat bahawa Abdullah bin ‘Umar RadhiAllahu ‘anhuma tidak pernah 
meletakkan al-Qur’an atau pedangnya di tempat solatnya, juga tulisan atau surat. Semuanya 
diletakkan di belakangnya atau di mana saja yang tidak dapat dilihat olehnya.
x)  Solat Di Awal Waktu
Mendirikan solat di awal waktu atau pertengahan waktu supaya tidak gopoh apakala masa
 hampir luput.

2. KETIKA HENDAK MENUNAIKAN SOLAT


i)  Azan dan iqamah
Kumandangkan Azan dan iqamat terlebih dahulu walaupun mendirikan solat bersendirian
 ataupun sekurang-kurangnya iqamat sahaja.

ii)  Lakukan Solat Secara Berjemaah
Berusahalah melakukan solat secara berjemaah kerana iaadalah suatu tuntutan dan syi‘ar
 agama Islam. Selain pahala solat berjemaah itu melebihi solat seorang diri dengan 
dua puluh tujuh darjat, ada ulama mengatakan, pada kebiasaannya orang yang solat berjemaah
 itu akan memperolehi kekhusyukan ketika bersolat dan terselamat daripada perkara yang lagha
 dan boleh melalaikannya.
iii)  Menghadirkan Hati.
Maksudnya ialah sebelum mendirikan solat kosongkan hati dari segala urusan yang boleh 
mengganggu ataupun yang tidak ada sangkut-paut dengan ibadat solat yang dikerjakan.
Abu Darda’ RadhiAllahu ‘anhu berkata: “Antara tanda kefahaman seseorang ialah 
dia memulai memenuhi keperluannya terlebih dahulu sebelum dia masuk menunaikan solat 
supaya dia masuk ke dalam solat dalam keadaan hatinya kosong dari perkara yang lain.”
iii)  Mengingatkan Mati
Agar pemikiran tidak liar, sebelum solat ingatkan diri bahawa kematian seolah-olah amat 
hampir dengan kita dan solat tersebut kemungkinan merupakan solat yang terakhir sekali 
dalam hidup kita dan perlulah dijadikan yang terbaik.
Diriwayatkan daripada Hatim al-Asham RadhiAllahu ‘anhu bahawa ditanyakan kepadanya 
tentang solatnya, beliau beliau menjawab: “Apabila tiba waktu solat aku
 menyempurnakan wudhuk dan aku mendatangi tempat di mana di situ aku
 hendak mendirikan solat. Lalu aku duduk pada tempat itu sehingga 
berkumpullah seluruh anggota tubuhku. Kemudian aku berdiri menunaikan
 solatku dan aku jadikan Ka‘bah di antara dua keningku, titian ash-shirath
 di bawah tapak kakiku, syurga di sebelah kananku, neraka di sebelah kiriku, 
malaikat maut di belakangku, aku menyangka solat ini adalah solatku yang
 terakhir. Kemudian aku berdiri di antara mengharap dan takut, aku bertakbir
 dengan penuh keyakinan, aku membaca dengan bacaan yang betul, aku ruku‘
 dengan merendahkan diri, aku sujud dengan khusyu‘, aku duduk atas punggung 
kiri dan aku bentangkan belakang tapak kaki kiri, aku tegakkan tapak kaki kanan
 atas ibu jari kaki dan aku ikutkan keikhlasan hati. Kemudian aku tidak tahu 
sama ada solatku diterima atau tidak?”
iv)  Membaca Zikir
Sebelum mengangkat takbir elok membaca mana-mana zikir yang boleh menjauhkan diri 
daripada syaitan.
Umpamanya seperti membaca:
a.)  Surah an-Nas
b.)  Ta‘awudz
c.)  Tahlil:

لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ

“Tidak ada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah.”
d.)  Zikir:

امنا با الله و برسوله

 “Kami beriman dengan Allah dan rasul-rasulNya.”
v)  Berusaha Melawan Gangguan Syaitan
Antara tipu daya syaitan ialah memesongkan atau memalingkan perhatian semasa solat. 
Caranya ialah dengan memalingkan hati kita dari meneliti dan memahami apa yang sedang kita baca. 
Dari situ kita akan hilang renungan untuk hari akhirat dan keikhlasan ibadat yang dilakukan.
 Adakalanya sehingga seorang itu boleh menjadi ragu dan was-was tentang bilangan rakaat yang 
telah ditunaikannya, adakah sudah cukup atau masih lagi kurang.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RadhiAllahu ‘anhu bahawa Rasulullah ShallAllahu ‘alaihi 
wasallam bersabda: “Sesungguhnya salah seorang daripada kamu apabila berdiri menunaikan 
solat syaitan akan mendatanginya, lalu syaitan menimbulkan kesamaran ke atas orang itu 
sehingga dia tidak tahu berapa rakaat sudah ditunaikannya.”  (Hadits riwayat Muslim)

3. KETIKA MENUNAIKAN SOLAT


i)  Meneliti Dan Memahami Bacaan Solat
Meneliti bacaan-bacaan dalam solat, sama ada bacaan itu terdiri dari ayat-ayat al-Qur’an atau 
selain dari ayat-ayat al-Quran (tasbih dan takbir dan doa). Jika boleh, fahami makna 
bacaan-bacaan tersebut. Perkara ini amat penting untuk menghadirkan hati dalam solat. 
Hati mestilah ikut mengetahui segala apa yang kita baca.
Membaca dengan baik (Khusnul Qori’ah), berusaha untuk memahami dan mengerti bacaan
 dalam solat termasuk ayat Al-Quran yang dibacakan, terutama sekali Al Fatihah, gerakan dan 
maknanya (Tafakhum). Ini kerana bacaan-bacaan dalam solat mengandungi banyak makna
 yang halus yang patut dimengertikan oleh orang yang melaksanakannya.

ii)  Merendahkan Diri
Salurkan rasa rendah hati dan rendah diri ketika dalam rukuk dan sujud serta dipanjangkan
 tempoh masa rukuk dan sujud.
Rasulullah ShallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Seseorang hamba paling dekat dengan 
Tuhannya sewaktu ia bersujud.” (Hadis riwayat Muslim)

iii)  Mengagungkan Allah SWT
Meliputkan hati dengan kebesaran Allah dan kesucianNya ketika bertakbir dan ketika bertasbih
 pada seluruh gerak-geri dalam solat. Timbulkan Rasa Malu (Haya’) iaituperasaan malu terhadap
 Allah SWT dan merasa takut (Khauf) kepada kekuasaan Allah.

iv)  Menghindari Dari Memikirkan Hal Keduniaan
Meninggalkan segala fikiran dan lintasan hati yang berkaitan dengan urusan dunia. Hati diajak
 hadir/ikut, kehadiran hati dalam solat iaitu mengosongkan hati dari segala urusan 
yang boleh mengganggu dan yang tidak berkaitan dengan solat.

v)  Tumpuan Penuh Pada Solat
Segala perhatian dalam solat itu hendaklah tertumpu hanya kepada mendirikan dan
 menunaikannya dengan yang terbaik sekali. Rukun-rukun solat perlu dilakukan secara tertib.
 Berusaha konsentrasi (Khudunul Kolbih) sambil menyedari bahawa Allah SWT 
sentiasa memperhatikan solat itu.

vi)  Mengurangkan Pergerakan Anggota Badan
Mengurangkan pergerakan anggota-anggota seperti tangan, kaki dan juga Mata ditumpukan
 kepada tempat sujud dan ketika tasahut melihat anak jari.
vii)  Sentiasa Melihat Tempat Sujud
Sentiasa melihat tempat sujud sekalipun orang itu buta atau bersolat di dalam gelap kecuali 
ketika membaca perkataan إلاّ الله dalam tahiyyat. Pada ketika itu pandangan orang yang solat itu 
dialihkan ke jari telunjuknya.
Jika memejamkan mata boleh mendatangkan khusyuk dalam solat seseorang itu, maka 
dibolehkan dia berbuat begitu dan hukumnya tidak makruh sebagaimana yang dijelaskan oleh 
Imam an-Nawawi.

iix)  Lakukan Solat Dengan Thuma’ninah
‘Thuma’ninah’ (ketenangan), maksudnya anggota seseorang itu tetap diam atau berhenti
 seketika ketika melakukan ssesuatu ‘rukun fi‘li’ (perbuatan) di dalam solat seperti rukuk, 
sujud dan sebagainya, sebelum beralih ke rukun fi‘li seterusnya. Sekurang-kurangnya tetap diam
 seketika dalam tempoh pada kadar bacaan zikir: “سبحان الله” (SubhanAllah).
Maknanya, setiap pergerakan di dalam solat itu tidak dilakukan dengan tergopoh-gapah, cepat-cepat
 atau dengan kelam-kabut tetapi dilakukan dengan tenang dan relaks.
Rasulullah ShallAllahu ‘alaihi wasallam ada mengajar kita tentang perkara ini di dalam sabda 
Baginda: “Apabila kamu berdiri menunaikan solat maka bertakbirlah. Kemudian 
bacalah ayat al-Quran yang mudah bagi kamu. Kemudian rukuklah sehingga
 kamu berthuma’ninah dalam keadaan rukuk. Kemudian bangkitlah sehingga 
kamu berdiri betul. Kemudian sujudlah sehingga kamu berthuma’ninah dalam
 keadaan sujud. Kemudian bangkitlah sehingga kamu berthuma’ninah dalam 
keadaan duduk. Kamu buatlah yang demikian itu dalam semua solat kamu.”
  (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

PENUTUP

Begitulah beberapa tip yang boleh dijadikan panduan untuk mendapatkan khusyuk di dalam
solat. Memang tidak dinafikan, terdapat setengah orang masih tidak mampu memperolehi
 khusyuk di dalam solatnya walaupun dengan mengamalkan bermacam-macam tip atau panduan.
Yang penting tidak mudah berputus asa dan sentiasalah gerakkan diri kita berusaha 
untuk mendapatkannya. Jangan lupa juga untuk banyak-banyak memohon doa kepada 
Allah Ta‘ala supaya dikurniakan kepada kita hati yang bersih dan khusyu‘ dalam beribadat kepadaNya.
Orang-orang yang takut kepada Penciptanya dan menyedari ia hanyalah hamba akan patuh apasaja
 yang diperintahkan dan disampaikan oleh rasul serta akan khusyuk mendapat nikmat solat seperti
 firman Allah SWT:

وَاسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلَاةِ ۚ وَإِنَّهَا لَكَبِيرَةٌ إِلَّا عَلَى الْخَاشِعِينَ ﴿٤٥﴾ الَّذِينَ يَظُنُّونَ أَنَّهُم مُّلَاقُو رَبِّهِمْ وَأَنَّهُمْ إِلَيْهِ رَاجِعُونَ ﴿٤٦

“Jadikanlah Sabar dan Solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian
 itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyuk. (Iaitu) orang-orang yang meyakini, bahawa mereka akan menemui Tuhannya dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya.”
(Surah Al-Baqarah : ayat 45-46).
والله أعلم بالصواب
Wallahu A’lam Bish Shawab
 (Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)
وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...