Lebih 100 ahli dan penyokong tegar DAP mengadakan demonstrasi di hadapan Ibupejabat DAP Perak di Bandar Ipoh Raya hari ini kerana membantah pencalonan untuk Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU-13).
Mereka yang terdiri daripada kaum Cina dan India tidak berpuas hati dengan calon yang dinamakan oleh DAP di samping mempertikaikan tindakan parti itu mengurangkan calon India.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh kumpulan kaum India, mereka menyifatkan DAP seolah-olah sebuah parti perkauman kerana mengurangkan calon kaum India dari enam pada pilihanraya lalu kepada hanya lima sahaja.
Mereka hairan mengapa perkara itu berlaku sedangkan pemimpin tertinggi peringkat negeri, Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham dan sepupunya, Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming bertanding di dua kerusi DUN dan Parlimen.
“Kepimpinan DAP telah menyuarakan seorang untuk satu kerusi tetapi kepimpinan DAP Perak tamak dan perkauman,” kata kenyataan tersebut.
Sementara itu, Ketua Pemuda DAP Kuala Kangsar, Choo Ooi Beng, 32, melahirkan rasa kecewa dan tidak berpuas hati dengan calon DAP untuk kerusi DUN Jalong kerana calon tersebut tidak dikenali.
Beliau mendakwa cuba menghubungi Setiausaha Agung parti, Lim Guan Eng untuk mendapatkan penjelasan tetapi gagal kerana Ketua Menteri Pulau Pinang itu tidak menjawab panggilan telefon.
Ahli veteran, Tan Ju Kong, 75, pula berkata, beliau telah menjadi ahli DAP lebih 40 tahun dan mengugut akan keluar parti sekiranya calon tersebut tidak ditukar.
No comments:
Post a Comment